Asas Digital

10 AI Chatbot Selain ChatGPT yang Anda Patut Kenal

Kenali 10 AI chatbot selain ChatGPT seperti Claude, Gemini, Grok, DeepSeek, Copilot, Perplexity dan lain-lain serta kegunaan setiap satunya.

Share
Share

Apabila bercakap tentang kecerdasan buatan atau AI, ChatGPT mungkin menjadi nama pertama yang terlintas di fikiran ramai orang. Ia digunakan untuk menulis, mencari idea, meringkaskan maklumat, menganalisis dokumen, membantu kerja pejabat dan juga menulis kod.

Tetapi ChatGPT bukan satu-satunya AI yang boleh digunakan.

Sekarang terdapat banyak perkhidmatan AI yang dibangunkan oleh syarikat berbeza. Ada yang lebih menumpukan kepada penulisan dan analisis, ada yang menggabungkan carian web, manakala sebahagiannya pula lebih banyak digunakan untuk pengaturcaraan, penghasilan imej, video atau tugasan yang memerlukan beberapa langkah.

Sebab itu, kalau Anda sudah biasa menggunakan ChatGPT, tidak ada salahnya mengenali beberapa alternatif ChatGPT yang lain.

Bukan bermaksud anda perlu meninggalkan ChatGPT. Sebaliknya, anda mungkin mendapati AI tertentu lebih sesuai untuk sesuatu kerja yang anda lakukan.

Dalam artikel ini kita akan melihat 10 nama yang menarik untuk diketahui: Claude, Gemini, Grok, DeepSeek, Microsoft Copilot, Perplexity, Qwen, Kimi, Mistral Vibe dan Meta AI.


Apa itu AI chatbot?

Secara mudah, AI chatbot ialah perisian yang membolehkan kita berinteraksi dengan kecerdasan buatan menggunakan bahasa biasa. Kita bertanya atau memberikan arahan, kemudian AI memproses permintaan tersebut dan memberikan jawapan.

Namun, kemampuan AI hari ini sudah jauh lebih luas daripada sekadar menjawab soalan.

Sesetengah AI boleh membaca dokumen, memahami gambar, membantu menulis kod, mencari maklumat di internet, menghasilkan imej dan video, serta membantu menjalankan tugasan yang mempunyai beberapa langkah.

Kalau anda masih baru menggunakan ChatGPT, anda boleh baca dahulu panduan tentang cara menggunakan ChatGPT untuk pemula. Ia menerangkan perkara asas seperti cara memberikan arahan, memberikan konteks dan membuat soalan susulan supaya jawapan yang diterima lebih berguna.

Bagi yang ingin memahami bagaimana teknologi ini berkembang pula, artikel tentang sejarah ChatGPT dan evolusi GPT memberikan gambaran bagaimana model bahasa berkembang daripada generasi awal sehingga menjadi sebahagian daripada kehidupan digital hari ini.


1. Claude – Anthropic

Claude dibangunkan oleh Anthropic dan banyak digunakan untuk kerja yang berkaitan dengan penulisan, analisis, dokumen dan pengaturcaraan.

Ia boleh menjadi pilihan yang menarik apabila anda mempunyai bahan yang panjang dan mahu AI membantu memahami, menyusun atau mengolah maklumat tersebut.

Antara kegunaannya termasuk:

  • Menulis dan menyunting kandungan.
  • Menganalisis dokumen dan teks yang panjang.
  • Membantu memahami maklumat yang kompleks.
  • Membantu menghasilkan dan menyemak kod.
  • Menyusun idea dan maklumat.
  • Membantu tugasan yang memerlukan beberapa langkah.

Claude juga mempunyai ciri yang lebih bersifat agentic untuk sesetengah tugasan. Namun, ciri lanjutan seperti ini bergantung pada pelan dan akses yang diberikan kepada pengguna.

Bagi pengguna yang banyak berurusan dengan teks, dokumen dan kerja analisis, Claude boleh menjadi salah satu AI yang wajar dicuba.

Claude AI URL: https://claude.ai/


2. Gemini – Google

Gemini pula datang daripada Google dan mempunyai kelebihan tersendiri kerana ia berkembang bersama ekosistem Google.

Selain menjawab soalan dan membantu menghasilkan kandungan, Gemini boleh digunakan untuk memahami teks, imej dan dokumen, membantu kerja penyelidikan, pengaturcaraan serta tugasan kreatif.

Antara fungsi yang boleh ditemui dalam ekosistem Gemini ialah:

  • Menulis dan menyunting teks.
  • Menganalisis imej dan dokumen.
  • Membantu kerja penyelidikan.
  • Menghasilkan dan menyunting imej.
  • Membantu menghasilkan video.
  • Membantu menghasilkan audio
  • Membantu pengaturcaraan.
  • Menggunakan ciri AI yang berkait dengan perkhidmatan Google.

Salah satu perkembangan yang menarik ialah penjanaan video dan audio. Dalam aplikasi Gemini, Google kini menggunakan Gemini Omni untuk menghasilkan dan menyunting video. Google juga menyatakan bahawa akses kepada Gemini Omni memerlukan pelan berbayar, manakala pelan percuma memberikan akses kepada fungsi lain seperti penjanaan dan penyuntingan imej.

Veo pula masih wujud dalam ekosistem model dan API Google, jadi tidak semua rujukan kepada teknologi video Google perlu dianggap sebagai ciri yang sama dalam aplikasi Gemini.

Gemini juga mempunyai ciri carian dan fungsi AI yang lebih kompleks, tetapi ketersediaannya boleh bergantung kepada pelan, produk dan negara.

Kalau anda sudah banyak menggunakan Gmail, Google Drive, Google Docs atau perkhidmatan Google yang lain, Gemini memang antara AI yang menarik untuk diterokai.

Gemini AI: https://gemini.google.com/


3. Grok – SpaceX AI

Grok pada asalnya dibangunkan oleh xAI dan kini berada di bawah SpaceX AI.

Grok boleh digunakan melalui web dan aplikasi mudah alih, manakala ekosistemnya turut merangkumi Grok Imagine untuk penghasilan imej dan video. Ia juga boleh menerima pelbagai jenis fail untuk dianalisis, termasuk PDF, imej, spreadsheet, kod dan audio.

Antara kegunaannya termasuk:

  • Menjawab soalan dan membantu menghasilkan teks.
  • Membantu mencari maklumat.
  • Menganalisis fail.
  • Membantu kerja pengaturcaraan.
  • Menghasilkan imej.
  • Menghasilkan video.
  • Membantu tugasan yang memerlukan beberapa langkah.

Untuk video, akses memang bergantung pada pelan. SpaceXAI menyenaraikan penjanaan imej dan video dalam SuperGrok, manakala SuperGrok Plus menawarkan had lebih tinggi dan penghasilan video 1080p.

Grok juga mempunyai perbezaan antara pengalaman dalam aplikasi, web dan API. Jadi, ciri yang anda nampak dalam satu produk tidak semestinya tersedia dengan cara yang sama dalam produk yang lain.

Grok AI: https://grok.com/


4. DeepSeek

DeepSeek mendapat perhatian besar dalam dunia AI, khususnya dalam bidang penaakulan dan pengaturcaraan.

Model DeepSeek terus berkembang daripada V4 kepada V4-Pro dan V4.1-Flash, yang menyokong

pemahaman imej secara asli.

Untuk pengguna, DeepSeek boleh digunakan bagi perkara seperti:

  • Menjawab soalan.
  • Menulis dan menyusun kandungan.
  • Membantu menyelesaikan masalah teknikal.
  • Menjana dan memahami kod.
  • Membantu kerja penaakulan dan analisis.
  • Memproses input yang disokong oleh model atau aplikasinya.

DeepSeek sering menjadi pilihan yang menarik bagi pengguna yang banyak melakukan kerja teknikal atau pengaturcaraan, tetapi ia juga boleh digunakan untuk tugasan harian seperti menulis, mencari idea dan memahami sesuatu topik.

Satu perkara yang perlu diingat ialah perkembangan model AI berlaku dengan cepat. Nama model, keupayaan dan akses yang tersedia hari ini mungkin berubah apabila versi baharu diperkenalkan.

DeepSeek AI: https://chat.deepseek.com/


5. Microsoft Copilot

Microsoft Copilot mempunyai hubungan yang rapat dengan ekosistem Microsoft, menjadikannya lebih menarik kepada pengguna yang memang banyak menggunakan produk Microsoft.

Copilot boleh membantu kerja penulisan, carian maklumat, produktiviti dan pengaturcaraan. Microsoft juga sedang mengembangkan Copilot ke arah tugasan yang lebih kompleks.

Antara kegunaannya termasuk:

  • Menulis dan menyunting teks.
  • Membantu mencari dan memahami maklumat.
  • Membantu kerja produktiviti.
  • Membantu pengaturcaraan.
  • Membantu tugasan dalam ekosistem Microsoft.
  • Menjalankan tugasan AI tertentu secara lebih automatik.

Namun, tidak semua fungsi Copilot tersedia untuk semua pengguna. Microsoft memperkenalkan Copilot Home dan Copilot Code melalui Frontier, manakala Copilot Autopilot masih dalam pratonton persendirian ketika artikel ini dikemas kini.

Ini penting kerana banyak kandungan mengenai Copilot di internet mencampurkan ciri yang sudah tersedia dengan ciri yang masih dalam ujian atau dengan akses terhad.

Copilot AI: https://copilot.com/


6. Perplexity

Perplexity mengambil pendekatan yang agak berbeza.

Kalau chatbot biasa lebih terasa seperti tempat kita berbual dengan AI, Perplexity pula lebih dekat dengan pengalaman mencari maklumat menggunakan AI.

Ia boleh melakukan carian di web, mengumpulkan maklumat daripada sumber yang ditemui dan memberikan jawapan bersama rujukan.

Sebab itu Perplexity sering digunakan untuk penyelidikan.

Antara kegunaannya ialah:

  • Mencari maklumat di web.
  • Mendapatkan jawapan berdasarkan sumber yang ditemui.
  • Melihat pautan dan rujukan.
  • Membantu penyelidikan sesuatu topik.
  • Menggunakan mod carian yang lebih mendalam untuk tugasan tertentu.

Perplexity juga mempunyai fungsi seperti Pro Search dan Deep Research. Akses serta had penggunaan bergantung pada pelan, jadi pengalaman pengguna percuma dan berbayar tidak semestinya sama.

Kalau anda sering membuat penyelidikan dan mahu melihat dari mana sesuatu maklumat datang, pendekatan Perplexity mungkin lebih dekat dengan cara kerja yang anda perlukan.

Perplexity AI: https://www.perplexity.ai/


7. Qwen – Alibaba

Qwen ialah keluarga model AI daripada Alibaba dan mempunyai pengalaman chatbot melalui Qwen Chat.

Ia boleh digunakan untuk pelbagai tugasan berkaitan bahasa, analisis dan pengaturcaraan.

Antara kegunaannya termasuk:

  • Menjawab soalan.
  • Menulis dan menyunting teks.
  • Membantu pengaturcaraan.
  • Menganalisis maklumat.
  • Membantu tugasan yang memerlukan penaakulan.
  • Berinteraksi dengan kandungan yang disokong oleh model dan aplikasinya.

Perkara yang menarik tentang Qwen ialah kita tidak sepatutnya melihatnya sebagai satu chatbot sahaja. Qwen merujuk kepada keluarga model dan ekosistem AI yang lebih luas, manakala Qwen Chat merupakan salah satu cara pengguna berinteraksi dengan teknologi tersebut.

Bagi mereka yang ingin mencuba lebih banyak model AI di luar nama yang biasa didengar, Qwen merupakan salah satu pilihan yang boleh diterokai.

Qwen AI: https://www.perplexity.ai/


8. Kimi – Moonshot AI

Kimi dibangunkan oleh Moonshot AI dan kini semakin berkembang daripada pengalaman chatbot kepada tugasan yang lebih kompleks.

Kimi mempunyai perhatian yang besar terhadap kerja berasaskan agen dan pengaturcaraan. Dokumentasi rasminya turut menunjukkan penggunaan Agent Swarm, iaitu pendekatan yang membolehkan beberapa agen bekerja bersama untuk tugasan tertentu.

Kimi boleh digunakan untuk:

  • Menulis dan menganalisis teks.
  • Membantu memahami dokumen.
  • Membantu kerja pengaturcaraan.
  • Menjalankan tugasan yang mempunyai beberapa langkah.
  • Membantu kerja berasaskan agen, bergantung pada ciri dan akses semasa.

Perkembangan seperti ini menunjukkan arah yang sedang diambil oleh banyak platform AI sekarang. Fokusnya semakin beralih daripada sekadar memberikan jawapan kepada membantu pengguna menyelesaikan sesuatu tugasan.

Kimi AI: https://www.kimi.ai/


9. Mistral Vibe – Mistral AI

Mistral AI ialah syarikat AI dari Eropah yang mempunyai keluarga modelnya sendiri.

Pada Ogos 2026, Le Chat secara rasmi ditukar nama kepada Vibe, dengan tiga mod utama: Vibe Work, Vibe Code dan Vibe Chat. Vibe Work digunakan untuk tugasan produktiviti, Vibe Code untuk pembangunan perisian, manakala Vibe Chat mengekalkan pengalaman perbualan yang biasa digunakan dalam Le Chat.

Secara ringkas, Vibe boleh digunakan untuk:

  • Berbual dengan AI.
  • Menulis dan menyunting kandungan.
  • Membantu tugasan produktiviti.
  • Membantu kerja pengaturcaraan.
  • Menjalankan tugasan kompleks dalam beberapa langkah.
  • Bekerja melalui antara muka web, mudah alih atau alat pembangunan tertentu, bergantung pada mod.

Perubahan daripada Le Chat kepada Vibe juga menunjukkan bagaimana Mistral mahu meletakkan AI sebagai alat untuk menyelesaikan kerja, bukan sekadar ruang untuk bertanya soalan.

Mistral AI URL: https://mistral.ai/


10. Meta AI

Meta juga mempunyai ekosistem AI sendiri dan kini mengembangkan model melalui Meta Superintelligence Labs.

Meta AI boleh digunakan untuk perbualan dan pelbagai tugasan, manakala perkembangan model Muse membawa keupayaan generatif seperti penghasilan imej dan video.

Muse Image sudah tersedia dalam aplikasi Meta AI dan meta.ai. Meta juga menyatakan ketersediaannya untuk Instagram Stories di Amerika Syarikat dan WhatsApp di beberapa negara terpilih. Muse Video pula diperkenalkan sebagai pratonton dan akan diperluaskan kepada pencipta serta Meta AI.

Antara fungsi yang berkaitan dengan ekosistem Meta AI termasuk:

  • Berbual dan mendapatkan jawapan.
  • Membantu menghasilkan kandungan.
  • Menghasilkan dan menyunting imej.
  • Meneroka kandungan video generatif.
  • Menggunakan fungsi AI dalam produk Meta yang disokong.

Oleh sebab Meta memperkenalkan ciri-ciri ini secara berperingkat, ketersediaannya boleh berbeza mengikut produk dan negara.

Meta AI URL: https://www.meta.ai/


10 AI ini sebenarnya tidak sama

Selepas melihat kesemua nama tadi, jelas bahawa setiap AI mempunyai pendekatan dan ekosistem yang berbeza.

Ada yang lebih sesuai untuk penulisan dan analisis. Ada yang mempunyai hubungan rapat dengan carian web. Ada yang lebih dekat dengan produktiviti pejabat, manakala sebahagiannya banyak digunakan untuk coding atau tugasan berasaskan agen.

Kalau diringkaskan:

AISyarikat / EkosistemAntara kegunaan utama
ClaudeAnthropicPenulisan, analisis, dokumen, coding
GeminiGoogleAI umum, carian, imej, video dan ekosistem Google
GrokSpaceXAIPerbualan, imej, video, fail dan coding
DeepSeekDeepSeekPenaakulan, coding dan tugasan teknikal
CopilotMicrosoftProduktiviti, coding dan ekosistem Microsoft
PerplexityPerplexityCarian, penyelidikan dan jawapan berasaskan sumber
QwenAlibabaChat, bahasa, coding dan tugasan AI
KimiMoonshot AIDokumen, coding dan tugasan berasaskan agen
Mistral VibeMistral AIChat, produktiviti dan coding
Meta AIMetaChat, imej dan perkembangan video

Jadual ini sengaja dibuat secara umum kerana ciri AI berubah dengan cepat. Fungsi tertentu mungkin bergantung kepada pelan, negara, aplikasi atau versi model yang digunakan.


Jadi, Perlukah guna banyak AI?

Tidak semestinya.

Kalau anda sudah menggunakan ChatGPT dan ia memenuhi kebanyakan keperluan anda, tiada sebab untuk membuka akaun dengan sepuluh perkhidmatan sekaligus.

Lebih praktikal untuk cuba satu atau dua AI yang mempunyai kaitan dengan kerja anda. Contohnya, anda boleh membandingkan ChatGPT dengan Claude untuk kerja penulisan, atau mencuba Perplexity jika anda banyak membuat penyelidikan.

Kalau kerja anda banyak menggunakan Google, Gemini mungkin lebih relevan. Pengguna Microsoft pula mungkin mahu melihat apa yang boleh dilakukan oleh Copilot. Bagi kerja coding, anda boleh membandingkan beberapa model yang memang mempunyai keupayaan tersebut.

Selepas mencuba sendiri, biasanya lebih mudah untuk menentukan AI mana yang benar-benar membantu.

AI bukan pertandingan untuk mengumpul sebanyak mungkin akaun. Yang penting ialah alat tersebut boleh menjimatkan masa dan membantu menghasilkan kerja yang lebih baik.


Soalan Lazim

Apakah AI chatbot selain ChatGPT?

Antara AI chatbot yang boleh digunakan selain ChatGPT ialah Claude, Gemini, Grok, DeepSeek, Microsoft Copilot, Perplexity, Qwen, Kimi, Mistral Vibe dan Meta AI.

Apakah alternatif ChatGPT yang boleh dicuba?

Pengguna boleh mencuba Claude, Gemini, Grok, DeepSeek, Copilot atau Perplexity, bergantung pada jenis kerja yang ingin dilakukan.

Adakah Gemini sama dengan ChatGPT?

Tidak. Kedua-duanya ialah perkhidmatan AI generatif tetapi dibangunkan oleh syarikat berbeza dan mempunyai ekosistem serta fungsi yang berbeza.

AI mana yang sesuai untuk mencari maklumat di internet?

Perplexity mempunyai fokus yang kuat terhadap carian dan penyelidikan berasaskan web, manakala beberapa AI lain turut mempunyai fungsi carian bergantung pada produk dan pelan.

Adakah semua AI chatbot ini percuma?

Tidak. Kebanyakan platform menawarkan akses percuma dengan fungsi atau had tertentu, manakala ciri lanjutan biasanya bergantung pada pelan berbayar.

Perlukah menggunakan banyak AI chatbot?

Tidak. Pengguna boleh memilih satu atau dua AI yang paling sesuai dengan kerja mereka dan mencuba platform lain apabila diperlukan.

AI sekarang bukan sekadar tempat berbual

Perubahan yang lebih besar dalam dunia AI ialah kemampuan sistem ini untuk melakukan lebih banyak perkara daripada menjawab soalan.

AI kini semakin mampu memahami dokumen, menganalisis imej, mencari maklumat, menghasilkan media, membantu coding dan menjalankan tugasan yang terdiri daripada beberapa langkah. Sebab itu, istilah “chatbot” semakin kurang menggambarkan keseluruhan pengalaman menggunakan AI.

Apa yang dahulu bermula sebagai kotak untuk menaip soalan kini semakin berubah menjadi pembantu digital yang boleh membantu kita melakukan kerja sebenar.

Kalau anda baru mengenali dunia AI, tidak perlu cuba semuanya sekaligus. Mulakan dengan satu AI yang sesuai dengan kerja anda, belajar cara memberikan arahan yang jelas dan lihat bagaimana hasilnya selepas beberapa kali penggunaan.

Kemudian, kalau anda rasa ada tugasan yang boleh dilakukan dengan lebih baik menggunakan alat lain, barulah cuba AI yang seterusnya. Pada akhirnya, anda mungkin mempunyai lebih daripada satu AI dalam rutin harian. Satu untuk menulis, satu untuk mencari maklumat, satu untuk coding dan mungkin satu lagi untuk kerja kreatif.

Itulah yang menjadikan perkembangan AI sekarang menarik. Kita tidak semestinya perlu memilih satu dan meninggalkan yang lain. Kita boleh menggunakan alat yang berbeza mengikut kerja yang sedang dilakukan.

Kalau anda sudah biasa dengan ChatGPT, mengenali Claude, Gemini, Grok, DeepSeek, Copilot, Perplexity, Qwen, Kimi, Mistral Vibe dan Meta AI akan memberi anda gambaran yang lebih luas tentang pilihan AI yang ada hari ini.

Dan selepas mencuba beberapa daripadanya, anda mungkin akan mendapati bahawa AI yang paling berguna untuk anda bukan semestinya yang paling popular, tetapi yang paling sesuai dengan kerja yang sedang anda lakukan.


Share

Leave a comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Articles
Asas DigitalRencana

Apa Itu Jejak Digital? Perkara Yang Internet Tahu Tentang Anda

Pernahkah anda mencari sesuatu di internet, kemudian beberapa jam selepas itu iklan...

Asas Digital

Cara Menggunakan ChatGPT untuk Pemula

Bagi orang yang sudah biasa menggunakan ChatGPT, membuka ruang chat dan menaip...

Asas DigitalBlogger

Apa Itu Blog? Panduan untuk Pemula

Blog merupakan salah satu bentuk penerbitan kandungan di internet yang masih digunakan...

Asas DigitalLanding Page

Landing Page untuk Jualan: Cara Tingkatkan Conversion

Ada landing page yang cantik, ada pelawat, tetapi jualan masih tidak bergerak....