Kalau anda baru nak mulakan website, Shared Hosting biasanya antara pilihan yang paling mudah untuk dipertimbangkan. Kosnya lebih rendah berbanding hosting yang menawarkan resource dan kawalan lebih khusus, manakala urusan server pula kebanyakannya diuruskan oleh penyedia hosting.
Tetapi sebelum pilih pakej, elok faham dahulu apa maksud “shared” dalam Shared Hosting.
Beberapa website boleh ditempatkan dalam server yang sama dan menggunakan infrastruktur yang dikongsi. Setiap akaun pula biasanya mempunyai had penggunaan tertentu mengikut pakej yang dipilih.
Jadi, Shared Hosting bukan sekadar cerita tentang hosting yang murah. Yang lebih penting ialah memahami apa yang dikongsi, bagaimana ia berfungsi dan apa batasan yang datang bersama model hosting ini.
Dalam panduan ini, kita fokus khusus kepada Shared Hosting supaya anda boleh menilai sama ada ia sesuai dengan keperluan website anda.
Apa Itu Shared Hosting?
Shared Hosting ialah jenis hosting di mana beberapa akaun website ditempatkan dalam infrastruktur server yang sama.
Setiap pelanggan masih mempunyai akaun sendiri untuk mengurus website, fail, database, domain dan email. Cuma server yang menjalankan semua itu dikongsi dengan pelanggan lain.

Antara sumber yang digunakan dalam persekitaran tersebut ialah:
- CPU
- RAM
- ruang storan
- disk I/O
- sumber rangkaian
Penyedia hosting biasanya menetapkan had tertentu untuk setiap akaun atau pakej bagi mengawal penggunaan server.
Sebab itu Shared Hosting lebih sesuai untuk website yang mempunyai keperluan sederhana dan tidak memerlukan kawalan penuh terhadap server.
Untuk memahami asas web hosting terlebih dahulu, anda boleh baca Apa Itu Web Hosting?. Sementara itu, artikel Jenis-Jenis Web Hosting menerangkan gambaran keseluruhan Shared Hosting, VPS, Cloud, Dedicated dan pilihan lain.
Shared Hosting secara ringkas
ASPEK | SHARED HOSTING | APA MAKSUDNYA |
Model hosting | Banyak akaun dalam infrastruktur server yang sama | Resource utama digunakan dalam persekitaran bersama |
Kos | Biasanya lebih rendah | Anda tidak membayar keseluruhan infrastruktur server |
Pengurusan | Lebih mudah | Banyak fungsi boleh diurus melalui panel hosting |
CPU & RAM | Dikongsi dan tertakluk kepada konfigurasi | Penggunaan bergantung pada aktiviti website dan pakej |
Storage | Mengikut pakej | Kapasiti berbeza antara penyedia |
Root access | Biasanya tiada | Tidak mempunyai kawalan penuh terhadap server |
Customisation | Terhad | Tidak semua konfigurasi server boleh diubah |
Penyelenggaraan server | Diurus oleh provider | Pengguna tidak perlu mengurus infrastruktur asas sendiri |
Sesuai untuk | Website kecil hingga sederhana | Contohnya blog, portfolio, website syarikat kecil dan landing page |
Skalabiliti | Ada had tertentu | Pakej mungkin perlu ditingkatkan apabila keperluan berubah |
Jadual ini memberikan gambaran cepat tentang kedudukan Shared Hosting. Untuk penjelasan yang lebih lengkap mengenai jenis-jenis hosting lain, rujuk artikel Jenis-Jenis Web Hosting.
Bagaimana Shared Hosting Berfungsi?
Cara paling mudah untuk membayangkan Shared Hosting ialah seperti tinggal dalam sebuah bangunan yang mempunyai banyak unit.
Anda mempunyai ruang sendiri, tetapi sebahagian daripada kemudahan bangunan digunakan bersama.

Konsepnya hampir sama dalam Shared Hosting. Akaun anda mempunyai ruang sendiri untuk website, tetapi server yang menyediakan kuasa pemprosesan, memori, storan dan rangkaian digunakan oleh banyak akaun.
Contohnya, satu server boleh menjalankan beberapa website pada masa yang sama. Setiap website menggunakan resource berdasarkan aktiviti masing-masing.
Website yang ringan mungkin menggunakan sedikit kapasiti. Website yang lebih aktif pula boleh menghasilkan lebih banyak proses dan permintaan kepada server.
Penyedia hosting biasanya mengawal penggunaan tersebut melalui konfigurasi dan had tertentu. Ini membantu memastikan satu akaun tidak menggunakan kapasiti secara berlebihan.
Apa yang Dikongsi dan Apa yang Ada Had?
Ramai pengguna melihat jumlah storage dahulu ketika membandingkan pakej hosting. Itu memang penting, tetapi storage bukan satu-satunya ukuran kemampuan sebuah pakej.

RESOURCE | FUNGSI | APA YANG PERLU DI FAHAMI |
CPU | Memproses permintaan dan proses website | Penggunaan bergantung pada aktiviti website |
RAM | Menyokong proses yang sedang berjalan | Keperluan bergantung pada aplikasi dan trafik |
Storage | Menyimpan fail dan data | Ruang besar tidak semestinya bermaksud resource lain lebih tinggi |
Disk I/O | Membaca dan menulis data | Database dan operasi fail boleh mempengaruhinya |
Network/Bandwidth | Menghantar dan menerima data | Penggunaan bergantung pada konfigurasi dan polisi penyedia |
Resource limit
Dalam Shared Hosting, setiap pakej boleh mempunyai had tertentu terhadap penggunaan resource.

Contohnya, sebuah website mungkin mempunyai storage yang masih banyak, tetapi pada masa tertentu memerlukan lebih banyak kuasa pemprosesan kerana trafik meningkat, banyak proses WordPress berjalan atau database menerima banyak permintaan.
Sebab itu, jangan gunakan angka storage semata-mata untuk menentukan kemampuan sebuah pakej. Lihat juga maklumat lain yang diberikan oleh provider seperti CPU, RAM, proses dan I/O.
Bagaimana dengan “unlimited bandwidth”?
Sesetengah penyedia menggunakan istilah seperti unlimited bandwidth ketika menawarkan pakej hosting.
Namun, perkataan “unlimited” masih boleh tertakluk kepada polisi penggunaan, fair use atau terma tertentu.
Jadi, baca syarat pakej dan jangan hanya bergantung pada label pemasaran.
Shared IP
Dalam sesetengah Shared Hosting, beberapa website boleh menggunakan shared IP address yang sama.

Perkara ini tidak bermaksud website akan mengalami masalah SEO secara automatik. Apa yang lebih relevan ialah reputasi IP dalam situasi tertentu, khususnya apabila IP yang sama digunakan untuk penghantaran email.
Kalau anda menggunakan email dengan domain sendiri untuk urusan perniagaan, pengurusan email dan reputasi IP oleh provider memang wajar diberi perhatian.
Kelebihan Shared Hosting

Kos lebih rendah
Kelebihan paling jelas ialah kos permulaan biasanya lebih rendah kerana anda tidak membayar keseluruhan infrastruktur sebuah server.
Untuk website yang masih kecil, pendekatan ini lebih praktikal daripada membayar resource yang belum diperlukan.
Mudah diurus
Shared Hosting biasanya datang bersama panel kawalan yang memudahkan urusan seperti domain, fail, database, email, SSL dan pemasangan aplikasi.
Bagi pemilik website yang tidak mahu berurusan dengan pentadbiran server yang rumit, ini memang memudahkan kerja.
Tidak perlu mengurus infrastruktur server sendiri
Provider mengurus infrastruktur hosting pada peringkat server, termasuk perkara seperti perkakasan dan rangkaian.
Tetapi ini tidak bermaksud keseluruhan website diuruskan oleh provider.
Jika anda menggunakan WordPress, contohnya, anda masih perlu menjaga plugin, theme, password, pengguna dan kandungan website sendiri.
Sesuai untuk website dengan keperluan sederhana
Banyak website tidak memerlukan server khusus.
Blog, portfolio, website syarikat kecil, landing page dan beberapa jenis website perniagaan boleh menggunakan Shared Hosting dengan baik selagi keperluannya masih sederhana.
Kekurangan Shared Hosting
Kawalan server lebih terhad
Shared Hosting biasanya tidak memberikan root access dan pengguna tidak mempunyai kawalan penuh terhadap konfigurasi server.
Untuk website biasa, ini selalunya bukan masalah. Tetapi apabila anda memerlukan tetapan khusus, batasan ini mula terasa.
Tidak semua aplikasi sesuai
Ada aplikasi yang memerlukan konfigurasi tertentu atau persekitaran server yang lebih khusus.
Dalam keadaan seperti ini, isu sebenar mungkin bukan sekadar prestasi, tetapi keperluan aplikasi tersebut memang berbeza daripada apa yang biasanya ditawarkan oleh Shared Hosting.
Prestasi bergantung pada banyak faktor
Kelajuan website bukan ditentukan oleh server semata-mata.
Theme, plugin, database, gambar, caching, kod website dan jumlah trafik semuanya boleh memberi kesan.
Dalam persekitaran Shared Hosting, keadaan server dan penggunaan akaun lain juga merupakan antara faktor yang perlu diambil kira.
Backup bergantung pada polisi provider
Sesetengah penyedia menawarkan backup automatik, tetapi kekerapan, tempoh penyimpanan dan proses restore boleh berbeza.
Semak polisi backup sebelum bergantung sepenuhnya kepadanya.
Salah Faham Biasa Tentang Shared Hosting
Shared Hosting sering dianggap mudah dengan dua perkataan: murah dan perlahan. Sebenarnya, gambarannya lebih luas daripada itu.
“Shared Hosting mesti perlahan.”
Belum tentu.
Website yang ringan, dioptimumkan dan menerima trafik yang terkawal boleh berjalan dengan baik dalam Shared Hosting.
Kelajuan juga bergantung pada konfigurasi website, theme, plugin, database dan beberapa faktor lain.
“Storage besar bermaksud hosting lebih berkuasa.”
Tidak semestinya.
Storage menentukan ruang yang tersedia untuk menyimpan data. Ia bukan ukuran langsung untuk kuasa CPU atau kapasiti RAM.
Sebab itu pakej yang mempunyai ruang storan lebih besar belum tentu memberikan keupayaan pemprosesan yang lebih tinggi.
“Shared Hosting tidak selamat.”
Shared Hosting bukan secara automatik bermaksud tidak selamat.
Tahap keselamatan bergantung pada infrastruktur provider, konfigurasi server, pengasingan akaun dan ciri keselamatan yang digunakan.
Pemilik website pula masih bertanggungjawab menjaga aplikasi, plugin, theme dan akses akaun mereka.
“Kalau satu website digodam, semua website dalam server akan digodam.”
Itu bukan sesuatu yang berlaku secara automatik.
Persekitaran hosting boleh mempunyai mekanisme pengasingan antara akaun. Walaupun begitu, keselamatan server dan pengurusan akaun tetap penting apabila menggunakan infrastruktur bersama.
Siapa yang Sesuai Menggunakan Shared Hosting?
Shared Hosting biasanya sesuai untuk website yang tidak memerlukan konfigurasi server khusus.

JENIS WEBSITE | KESESUAIAN |
Blog | Sesuai |
Portfolio | Sesuai |
Website syarikat kecil Sesuai | Sesuai |
Landing page | Sesuai |
Website freelancer | Sesuai |
E-commerce kecil | Bergantung pada trafik dan penggunaan |
Website trafik tinggi | Perlu dinilai berdasarkan keperluan sebenar |
Aplikasi dengan konfigurasi server khusus | Biasanya kurang sesuai |
Dua website yang menggunakan platform sama pun belum tentu mempunyai keperluan yang sama.
Sebuah website syarikat dengan beberapa halaman mungkin sangat ringan, manakala website lain yang mempunyai banyak plugin, database yang aktif dan trafik tinggi mungkin memerlukan persekitaran yang berbeza.
Apa yang Perlu Diperiksa Dalam Pakej Shared Hosting?
Apabila membandingkan pakej, jangan berhenti pada harga dan storage sahaja.
Resource
Semak maklumat penggunaan CPU, RAM, proses atau I/O yang diberikan oleh provider. Lagi jelas maklumat ini, lagi mudah untuk anda memahami kemampuan pakej.
Storage
Lihat jumlah ruang yang disediakan dan bagaimana ia digunakan.
Database, email dan fail lain juga boleh menggunakan ruang bergantung pada pakej.
Backup dan restore
Semak:
- kekerapan backup
- tempoh penyimpanan
- kaedah restore
- sebarang had atau caj tambahan
Kalau anda memerlukan email seperti info@domainanda.com, semak dahulu fungsi email yang termasuk dalam pakej.
Control panel
Pastikan panel kawalan menyediakan fungsi yang anda perlukan untuk mengurus domain, fail, database, email dan aplikasi.
Shared IP
Jika email domain penting untuk operasi perniagaan, semak bagaimana provider mengurus shared IP dan penghantaran email.
Sokongan teknikal
Semak waktu operasi support, saluran bantuan dan jenis masalah yang boleh dibantu.
Jangan hanya melihat perkataan “24/7”. Lebih penting untuk mengetahui bentuk bantuan yang benar-benar tersedia.
Bila Shared Hosting Mula Tidak Lagi Sesuai?
Tidak ada satu angka trafik yang boleh digunakan untuk semua website.
Yang lebih penting ialah tanda yang anda lihat pada website sendiri.
Contohnya:
- website semakin aktif dan prestasi berubah
- proses tertentu kerap gagal
- database semakin berat
- anda memerlukan konfigurasi server khusus
- anda memerlukan lebih banyak kawalan terhadap persekitaran hosting
Apabila perkara ini mula berlaku, kenal pasti puncanya terlebih dahulu.
Kadangkala optimasi atau perubahan pakej sudah memadai. Dalam keadaan lain, website mungkin memang memerlukan jenis hosting yang menawarkan lebih banyak kawalan.
Rujuk Jenis-Jenis Web Hosting untuk melihat gambaran pilihan hosting lain.
Soalan Lazim Tentang Shared Hosting
Ya. WordPress boleh digunakan pada Shared Hosting dan sesuai untuk banyak website yang masih sederhana.
Prestasi tetap bergantung kepada hosting serta cara WordPress, theme, plugin dan database diuruskan.
Sesetengah pakej membenarkan lebih daripada satu website, tetapi jumlah domain atau website bergantung kepada pakej yang dipilih.
Semak had tersebut sebelum membeli.
Ia bergantung kepada polisi dan sistem provider. Penggunaan tertentu mungkin dihadkan apabila melepasi had yang ditetapkan.
Jika keadaan berlaku berulang kali, periksa punca penggunaan tersebut dan lihat sama ada pakej masih sesuai.
Tidak semestinya.
Sesetengah pakej menyediakan fungsi email, manakala ciri dan hadnya bergantung kepada penyedia.
Boleh, terutama untuk kedai atas talian yang masih kecil.
Apabila trafik, transaksi dan penggunaan database meningkat, keperluan hosting juga perlu dinilai semula.
Tidak secara automatik.
Shared IP dengan sendirinya bukan alasan untuk menganggap website akan mengalami masalah SEO. Reputasi IP lebih relevan dalam keadaan tertentu, terutama berkaitan penghantaran email.
Shared Hosting: Pilihan Mudah untuk Keperluan yang Sederhana
Shared Hosting bukan sekadar pilihan kerana harganya lebih murah.
Ia menjadi pilihan yang praktikal apabila website tidak memerlukan kawalan server yang tinggi dan pemilik mahu persekitaran hosting yang lebih mudah diurus.
Sebelum membeli, lihat apa yang benar-benar ditawarkan oleh pakej — bukan hanya harga, storage atau label seperti “unlimited”. Periksa juga backup, email, control panel, shared IP dan sokongan teknikal.
Selagi keperluan website masih sepadan dengan pakej yang digunakan, tiada keperluan untuk membayar lebih daripada apa yang diperlukan.
Bila website berkembang, lihat semula keperluan sebenar dan pilih persekitaran yang sepadan dengan tahap penggunaan tersebut.
Leave a comment